Monday, September 27, 2010

Selamat Belajar & Pelajar Ke Yaman

Bermula 25 hb September yang lepas, para pelajar Pondok Pinang Merah memulakan sessi pengajian mereka setelah bercuti panjang selama lebih kurang dua bulan.

Berita yang lain: Pelajar Pondok Pinang Merah* yang dihantar untuk menyambung pengajian ke Yaman berlepas dari KLIA pada jam 10:00AM (26hb September) selamat sampai ke Sana'a Yaman lebih kurang jam 10:00 PM waktu Yaman atau 3:00AM waktu Malaysia.

Kami di sini mengharapkan mereka berdua berusaha bersungguh - sungguh untuk menuntut ilmu di sana. Moga - moga bila pulang nanti dapat berkhidmat untuk menyampaikan Islam untuk semua. Insya-Allah.

* Mereka adalah Nasrullah bin Awang Muda dan Muhammad Syamil bin Che Anuad

Saturday, September 11, 2010

Institusi Pondok - Pro dan Kontra

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله
أما بعد

Bila disebut tentang pengajian pondok, apa yang terlintas di fikiran kita? Kebanyakan dari kita menggambarkan pengajian pondok merupakan suatu pendidikan yang selekeh, kolot, tiada masa depan dan lain - lain persepsi yang buruk - buruk belaka. Persoalannya, apakah semuanya ini benar?

Sejarah Pengajian Sistem Pondok

Sistem pengajian pondok di negara kita bermula sekitar abad ke 20 atau hujung abad ke 19 lagi. Dikatakan Kelantan merupakan negeri yang memulakan sistem pengajian pondok walaupun dari segi sejarah kedatangan Islam, tiada tanda - tanda atau artifak yang menunjukkan kedatangan Islam seperti negeri Terengganu yang terkenal dengan sumber sejarah yang mahsyur iaitu Batu Bersurat. Apapun dikatakan Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah di Pulai Chondong (1820M).

Sistem Pendidikan Pondok

Sistem pengajian pondok yang berasaskan 'talaqqi' kitab - kitab 'thurat' samada kitab - kitab Arab ataupun Melayu (jawi) ini merupakan satu sistem yang telah melahirkan banyak tokoh di tanahair kita dan membasmi buta huruf sebelum kedatangan sistem pengajian dari barat suatu masa dahulu. Sistem pengajian yang menekankan pengajian 'dari kulit ke kulit' ini menjadikan para pelajar lebih memahami sesuatu ilmu itu secara mendalam walaupun ianya mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan sesebuah kitab pengajian.

Realiti

Pengajian pondok di zaman yang serba canggih sekarang ini sebenarnya telah banyak berubah. Samada dari segi pengajaran mahupun pelajarnya walaupun sistem pengajian itu sendiri tidak banyak berubah. Pengajian bertalaqqi dan pengajian 'kulit ke kulit' masih diteruskan tetapi institusi pondok kebanyakannya dipenuhi oleh para pengajar, para pelajar dan mereka yang berkaitan dengan institusi ini yang tidak dapat mengangkat atau membela institusi pondok yang diperlekehkan oleh sebahagian masyarakat. Antara penyebabnya ialah;

1. Pihak atasan pondok yang terlalu sibuk dengan aktiviti selain dari mengajar dan mendidik.

Tidak salah untuk para tenaga pengajar menjalankan aktiviti lain untuk mendapatkan rezeki atau berkhidmat untuk masyarakat atau sebagainya, tetapi janganlah sampai mengabaikan para penuntut ilmu terkapai - kapai. Ini dapat dilihat dengan berkuburnya beberapa pondok kerana para guru mereka sibuk untuk 'mengubat orang' ataupun berniaga.

2. Sikap jumud (beku) pihak atasan pondok

Pihak pengurusan atau para pengajar yang tidak bersedia menerima idea - idea baru untuk memperbaiki sistem pengajian merugikan institusi ini sendiri terutamanya para pelajar. Mereka seharusnya bersikap terbuka dalam pelbagai sudut selagi mana tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat dan menerima pandangan dari pihak lain dengan dada yang lapang dan mempertimbangkannya. Sikap beku mereka ini sebenarnya menghalang kemajuan sistem pendidikan sebegini.

3. Sikap Ibubapa dan penjaga yang tidak bertanggungjawab

Sebahagian dari ibubapa dan penjaga yang menghantar anak atau tanggungan mereka yang bermasalah sahaja. Mereka mengganggap pengajian pondok sebagai 'pilihan terakhir' bagi anak atau tanggungan mereka. Mereka hanya akan menghantar anak atau tanggungan mereka ke pondok jika anak - anak pelajar itu merupakan pelajar yang bermasalah, terlalu bodoh dan sebagainya. Ini menjadikan institusi pondok dipenuhi oleh mereka yang bermasalah dan sekaligus menambahkan lagi imej buruk terhadap institusi ini.

4. Sikap pelajar yang tidak tahu tujuan mereka belajar

Disebabkan kebanyakan dari mereka dipaksa untuk belajar di pondok, kebanyakannya gagal melihat apa tujuan sebenar mereka belajar yang mengakibatkan sebahagian lepasan pengajian pondok gagal menunjukkan imej yang baik kepada pondok. Ini menambahkan persepsi buruk dari masyarakat.

Penutup & Harapan

Selain dari sebab - sebab di atas, mungkin ada beberapa penyebab lain yang mungkin telah diketahui oleh anda semua yang tidak perlulah dinyatakan di sini seperti sikap pemerintah sendiri yang meminggirkan sistem pendidikan sebegini dan juga sikap masyarakat sendiri yang menjadikan imej sistem pengajian ini semakin buruk.

Apapun diharapkan pihak pengurusan pondok dan para pelajar bersedia untuk berubah supaya lebih terbuka dari segi pengambilan ilmu, sistem pembelajaran dan sebagainya bagi memperbaiki kelemahan yang ada. Bagi pemerintah, ibubapa, penjaga dan masyarakat pula diharap memberi sokongan yang sepatutnya untuk melahirkan generasi berilmu yang bakal turun ke masyarakat untuk memperbaiki kerosakan yang ada.


Allahu a'lam...

Mohd Aizad bin Zulkifli (Badan Perwakilan Pelajar Pondok Pinang Merah)
Artikel asal di sini

Friday, September 10, 2010

Salam Aidilfitri

TaqabbalAllahu minna wa minkum...

Buat semua pelajar Madrasah Darul Bayan terutamanya pelajar Pondok Pinang Merah, dalam bergembira di Hari Raya, janganlah sampai lupa diri. Semoga Allah menerima amal - amal soleh kita. Amin..

Oh ya, jangan lupa datang pondok pulak. Kalau boleh datang awal sebab 2 orang kepimpinan pelajar (Saudara Nasrullah & Syamil) bakal melanjutkan pengajian mereka ke Sana'a, Yaman. Mereka bakal berlepas 16 Syawal ni. Kalau datang awal, insya-Allah boleh jumpa dulu mereka. :)